TAWAU: Kerana cemburu, seorang lelaki tergamak menetak isterinya yang sedang mengandung di bahagian leher sehingga mati dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.06 malam, bergegas ke lokasi kejadian sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Norhasnah Sahanin, 20-an, ditemui meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah kongsi pekerja buruh ladang tidak bernombor dekat Kampung Tanah Merah Checkpoint, Kilometer 50, Jalan Tawau-Semporna

Peter dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati suspek warga asing yang berusia 22 tahun itu telah melarikan diri dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek selepas tujuh jam bersembunyi di ladang kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada jam 12.05 tengah malam dan merampas sebilah parang panjang berukuran 68 sentimeter bersama sarung parang biru dan sehelai seluar panjang.

Dalam pada itu, jelas Peter, polis mendapati motif kejadian disyaki berpunca daripada suspek mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit.

Suspek dikatakan mendesak mangsa menceritakan mengenai perkara itu, namun mangsa enggan menceritakan kepadanya.

Peter memberitahu, hasil pemeriksaan awal ke atas fizikal mangsa mendapati satu kesan tetakan di belakang leher, disyaki akibat senjata tajam.

Suspek kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.